Tuesday 10 March 2015

APA ITU MODAL INSAN?



Abad ke-21 memperlihatkan peranan modal insan  menjadi semakin penting kerana keadaan ekonomi semasa yang banyak bergantung kepada modal manusia yang memiliki ilmu dan kemahiran yang tinggi. Mengapakah modal insan kini menjadi sebuah konsep yang amat signifikan dengan pembangunan sesebuah negara? Artikel ini akan mengupas serba sedikit mengenai istilah modal insan melalui beberapa sudut pandang.

Secara umumnya, modal sering kali diertikan sebagai sekumpulan wang, aset, dan harta yang dapat digembelengkan ke dalam sesuatu kegiatan yang akan mendatangkan pulangan atau keuntungan. Konsep ini difahami dengan merujuk kepada modal fizikal (Becker, 2007). Modal insan ditakrifkan dalam Kamus Oxford sebagai kemahiran yang dimiliki oleh tenaga buruh dan dianggap sebagai sumber atau aset. Ia merangkumi tanggapan bahawa terdapat pelaburan dalam manusia (seperti pendidikan, latihan dan kesihatan) yang mana pelaburan ini meningkatkan produktiviti individu (Claudia, 2014). Menurut Mohd Fauzi Hamat & Mohd Khairul Naim Che Nordin (2012), modal insan atau modal manusia ditakrifkan sebagai ciri-ciri yang dimiliki oleh pekerja yang menyebabkan mereka lebih produktif. Modal ini tidak boleh dipindahkan daripada seseorang kepada seseorang yang lain tetapi seseorang perlu melabur untuk mendapatkannya. Ia dibentuk atau dipupuk melalui pelaburan terhadap pendidikan, latihan sebelum bekerja, latihan semasa bekerja, kesihatan, penghijrahan, dan usaha mencari maklumat yang dapat meningkatkan taraf hidup seseorang. Nilai kini terhadap pelaburan tersebut dapat menentukan taraf modal insan yang ada pada seseorang.

Menurut Muhammad Hisham Mohamad (2005), modal insan yang baik dan bermutu tinggi dapat mencorakkan hala tuju dan matlamat sesebuah institusi. Kejayaan sesebuah institusi dikatakan bergantung kepada kualiti modal insan yang dimiliki oleh warganya baik dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Tanpa modal insan berkualiti, inisiatif baru dalam aspek pembangunan sosioekonomi tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh kerana faktor penggerak yang lemah iaitu faktor manusia (dipetik dalam Baharom Mohamad & Mohamad Johdi Salleh, 2009). Aini Jaafar (2006) dalam menjelaskan istilah modal insan pula melihat manusia sebagai suatu ‘aset tenaga’ yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara mahupun kemajuan bangsa. Sidek Baba (2005) pula menambah bahawa modal insan berkualiti tidak sahaja memiliki upaya ilmu dan ketrampilan yang sifatnya semasa dan canggih tetapi mereka juga perlu menitikberatkan kepentingan aspek nilai etika sebagai asas pedoman dalam menguruskan modal insan. Dalam kajian ini Hakikat yang tidak dapat dinafikan ialah konsep modal insan lazim hanya memusatkan manusia sebagai aset yang boleh dikerah dan dimanipulasi agar dapat mencapai matlamat dan objektif ekonomi Barat yang bersifat kebendaan semata-mata.

Menurut Flora (1999) pula modal insan merujuk kepada sumber-sumber dimiliki individu seperti pendidikan, kemahiran, bakat, kesihatan, pengetahuan yang diperolehi melalui pengalaman dan pembelajaran formal, nilai, dan daya kepimpinan. Pandangan lazim tentang pembangunan modal insan berkisar berkenaan penyediaan pendidikan, pengetahuan, dan kemahiran. Menurut Ishak Yussof (2003), teori modal insan dan pendekatan kadar pulangan telah membuktikan bahawa pendidikan berupaya meningkatkan produktiviti dan pendapatan seseorang yang selanjutnya boleh mendorong kepada pertumbuhan ekonomi.

4 comments:

  1. assalamualaikum hafizah..boleh sy nk tau gne rjukan pe/or lampirkan rujukn dalm blog ni boleh?

    ReplyDelete
  2. Kalau tak berani,, toksahlah nak kecoh,,,

    ReplyDelete