Monday 16 November 2015

PEMBANGUNAN INSAN HOLISTIK: SATU KEPERLUAN MASYARAKAT SEJAGAT

Oleh: Norhafizah Abdul Halim

PENDAHULUAN

Persoalan pembangunan merupakan suatu persoalan penting dalam kehidupan manusia sejagat kerana ia membawa kesan langsung ke atas setiap aspek kehidupan. Setiap masyarakat dunia tidak kira sama ada dalam kelompok negara maju, membangun mahupun mundur berhak untuk berada dalam proses pembangunan yang sepatutnya. Dalam aspek pembangunan manusia, pelbagai pandangan lahir daripada pemikiran yang beza telah mencetuskan konsep, teori dan pendekatan pembangunan manusia yang turut berbeza (Abdul Rahman Embong, 2004). Namun begitu, sejak dahulu lagi pandangan Barat menjadi paling dominan dalam konsep pembangunan manusia. Hal ini dapat dilihat melalui konsep dan teori pembangunan manusia yang diasaskan oleh golongan sarjana Barat dan digunapakai secara meluas dalam kebanyakan negara-negara Dunia Kedua.

Pembangunan manusia menurut perspektif lazim jelas berbeza daripada apa yang dibawa oleh perspektif Islam. Antara perbezaan yang dapat dikenalpasti ialah perspektif lazim meletakkan penekanan menyeluruh ke atas unsur fizikal dan material semata-mata seperti meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara, penciptaan sains dan teknologi serta mendapat . Ini membawa kepada matlamat pembangunan yang bersifat tidak seimbang, lemah dan tidak menyeluruh. Berbeza dengan teori pembangunan manusia daripada perspektif Islam yang mementingkan keseimbangan antara aspek fizikal dan spiritual, meningkatkan pembangunan peribadi dan keupayaan manusia dan bermatlamatkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.  





KONSEP PEMBANGUNAN INSAN MENURUT ISLAM


Pembangunan manusia menurut perspektif Islam ialah bagaimana mengurus dan membangun segenap potensi yang dimiliki oleh manusia iaitu unsur akal, hati dan jasmani untuk dijadikan sumber kekuatan dalam mengurus diri, masyarakat serta alam sekitar. Segala keistimewaan anugerah Allah SWT kepada setiap makhluknya perlulah diurus dengan betul dan bijaksana. Keistimewaan ini termasuklah akal yang hanya dikurniakan kepada manusia dan tidak kepada makhluk lain seperti haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

Akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia memiliki fungsi dan peranan yang cukup penting bagi menjadi penggerak kepada kedua-dua unsur baik rohani mahupun jasmani. Dengan akal yang dimiliki manusia mampu untuk memperolehi pengetahuan, berupaya untuk mereka cipta sesuatu, berupaya untuk membezakan antara yang baik dan yang buruk, serta mampu membawa insan kepada zat keinsanannya.

ELEMEN KEINSANAN DALAM PEMBANGUNAN INSAN HOLISTIK MENURUT ISLAM

Menurut Al-Ghazali (1990) perbincangan mengenai pembangunan insan yang holistik dan komprehensif memperlihatkan dua aspek penting dalam kehidupan manusia iaitu pembangunan spiritual dan pembangunan jasmani secara bersepadu (Al-Ghazali, 1990). Kedua-duanya merupakan komponen yang amat penting dan tidak boleh terpisah kerana ia dalam aspek pembangunan insan kerana ia saling berinteraksi dan melengkapi antara satu sama lain bagi melahirkan sebuah pembangunan yang bersifat sempurna. Namun begitu, pembangunan spiritual adalah lebih dominan dan membentuk hakikat keinsanan yang hakiki.

Dalam membentuk pembangunan insan holistik yang mengambil kira kedua-dua aspek spiritual dan jasmani, perkara utama yang harus difahami ialah hakikat keinsanan yang merupakan elemen-elemen pembentukan insan yang hakiki. Perkara asas ini amat penting untuk difahami agar penekanan dan penumpuan yang ingin diberikan dalam sesebuah konsep pembangunan insan berjaya meliputi segenap aspek elemen pembentukan insan.

Hakikat insan menurut Islam terdiri daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani yang mana kedua-duanya merupakan satu kesatuan. Antara kedua-dua unsur ini, unsur yang mutlak, tetap dan hakiki ialah unsur rohani. Manakala unsur jasmani pula merupakan unsur yang bergantung kepada unsur rohani, bersifat nisbi dan merupakan manifestasi kebenaran hakiki. Selain daripada al-hayah atau nyawa yang menghidupkan diri insan, unsur rohani dapat dibahagikan kepada tiga komponen penting iaitu kalbu, akal dan nafsu. Kalbu berada pada kedudukan separa kesedaran atau melepasi kesedaran diri manusia. Ia merupakan pusat dalam diri dan berperanan sebagai pemandu dan pengendali. Oleh itu, apabila ia berfungsi dengan baik, maka kehidupan insan menjadi baik dan hidup sealiran dengan fitrah semulajadi insan yang diciptakan oleh Allah SWT. Namun begitu, sekiranya komponen ini tidak berfungsi dengan baik maka akan terjadilah yang sebaliknya. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dari Nu'man ibn Bashir iaitu:

            "Sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila ia baik maka             akan baiklah seluruh tubuh namun jika ia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuh. Ingatlah bahawa ia adalah kalbu". 

Unsur kedua bagi komponen rohani yang ada dalam diri setiap insan adalah akal. Akal disebut dalam al-Quran sebagai al-‘aql yang membawa maksud menahan. Orang yang berakal pula disebut sebagai al-aqil. Dari segi bahasa (etimologi), akal bermakna menahan, ikatan, melarang, dan mencegah. Justeru itu, orang yang berakal adalah yang mampu menahan dan mengikat hawa nafsunya daripada membawa diri kepada sesuatu perbuatan. Apabila seseorang manusia dapat mengawal hawa nafsunya maka akal rasionalnya akan muncul bagi memainkan peranan dalam mendidik jiwa. Akal berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi agar mendekatkannya kepada Allah SWT. Dari segi kedudukan, akal berada di tahap kesedaran diri manusia.

Akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia memiliki fungsi dan peranan yang cukup penting bagi menjadi penggerak kepada kedua-dua unsur baik rohani mahupun jasmani. Dengan akal yang dimiliki manusia mampu untuk memperolehi pengetahuan, berupaya untuk mereka cipta sesuatu, berupaya untuk membezakan antara yang baik dan yang buruk, serta mampu membawa insan kepada zat keinsanannya. Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa sememangnya berkebolehan untuk mencapai taraf malaikat dengan suluhan ilmu dan juga boleh jatuh tersungkur lebih rendah dari taraf haiwan jika terpengaruh dengan kemewahan dan kenikmatan dunia.

Manusia mampu memperolehi ilmu pengetahuan melalui daya fikir, pemahaman, hafalan, imaginasi, penemuan, pengucapan, argumentatif dan sebagainya. Oleh kerana pelbagai keupayaan tersebut, fungsi akal juga disebut sebagai fitrah insan iaitu sifat semulajadi yang diciptakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia. 

Unsur ketiga pula ialah nafsu atau disebut juga sebagai syahwat. Syahwat mempunyai dua fungsi utama iaitu al-ghadab dan al-shahwah. Al-ghadab ialah potensi untuk menghindari diri daripada segala perbuatan yang berbahaya dan disebut juga sebagai pertahanan atau pembelaan. Al-shahwah pula ialah potensi untuk memiliki segala sesuatu yang disebut juga sebagai keinginan atau hawa nafsu.

Prinsip syahwat merupakan fitrah haiwaniyah kerana ia bersamaan dengan prinsip kerja haiwan seperti makan, tidur, dan seks. Matlamat utama unsur syahwat adalah untuk memuaskan keperluan fisiologi. Jika dikawal dengan baik, nafsu atau keinginan syahwat dapat memberikan beberapa manfaat kepada manusia. Namun begitu nafsu mampu mendesak manusia bagi memenuhi keinginannya secara bebas. Apabila manusia terlalu mengikut kehendak nafsu sehingga tidak dapat mengawalnya, ini bermakna manusia tersebut mengikut kehendak dan fitrah haiwaniyah. Al-Ghazali menyatakan bahawa syahwat perut dan syahwat jantina merupakan dua jenis syahwat yang paling banyak meruntuhkan akhlak manusia. Justeru itu, kedudukan manusia yang mengikut nafsu semata-mata disamakan dengan haiwan.


KEPERLUAN PEMBANGUNAN INSAN HOLISTIK DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT SEJAGAT

Perkaitan antara elemen keinsanan dalam membentuk pembangunan insan holistik begitu signifikan terutamanya terhadap matlamat pembangunan yang perlu dicapai oleh setiap insan bagi tujuan merealisasikan diri manusia sebagai seorang insan sempurna sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Kesemua matlamat ini dapat dicapai melalui tiga asas utama iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT selaku pencipta (habl min Allah) yang merupakan cara bagaimana seseorang insan dapat mengenal Allah SWT yang dimanifestasikan melalui enam prinsip Rukun Iman dan bagaimana cara seseorang insan berhubung denganNya yang dimanifestasikan melalui lima prinsip Rukun Islam. Asas kedua pula ialah hubungan manusia dengan manusia (habl min al-nas) dimana setiap insan diwajibkan mematuhi segala perintah Allah SWT serta meningggalkan segala laranganNya ketika berhubungan sesama insan. Asas ketiga ialah hubungan manusia dengan alam dimana Allah SWT telah pun memberikan garis panduan untuk manusia berinteraksi dengan alam sekitar (Muhammad Syukri Salleh, 2003).

Pembangunan insan dalam konteks membentuk masyarakat bertamadun dapat difahami sebagai suatu usaha yang berterusan sepanjang hayat dalam memupuk dan mengembangkan potensi-potensi yang ada dalam diri manusia agar menjadi subur dan kental rasa keimanannya terhadap rukun Iman serta berupaya untuk menggesa dan menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup diri sendiri, orang lain dan alam keseluruhannya (Che Zarrina Sa’ari, 2007). Keadaan ini bertepatan sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam. Pembangunan insan menurut Islam haruslah bergerak seiringan dengan pembangunan masyarakat serta menjaga kemaslahatan seluruh umat manusia. Rasulullah SAW haruslah dijadikan contoh dan ikutan bagi melahirkan satu bentuk pembangunan insan yang sempurna dan menyeluruh. Dalam perspektif bersepadu, pembangunan insan holistik merupakan keperluan yang sangat mustahak dalam membentuk masyarakat kini. Ini kerana, pembangunan insan yang ditonjolkan oleh Islam adalah berlandaskan orientasi nilai dengan perhatian untuk meningkatkan kebajikan umat Islam dari semua aspek moral, kebendaan, dan kerohanian untuk mencapai kesejahteraan dan kedamaian hidup di dunia dan di akhirat.

Bagi melahirkan konsep pembangunan insan holistik, setiap insan perlulah berpegang kepada lima perkara dasar yang harus dipelihara demi menjaga kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.. Syariat Islam telah menjelaskan lima dasar (maqasid al-syariah) bagi memelihara kemaslahatan hidup seseorang insan yang seterusnya membawa kepada pembentukkan sebuah masyarakat. Lima dasar tersebut ialah pertama, memelihara keselamatan nyawa setiap individu bagi mewujudkan perpaduan, kesatuan dan kerjasama antara satu sama lain dengan kelangsungan hidup umat manusia. Kedua, memelihara keselamatan akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah SWT hanya kepada makhluk bergelar manusia sehingga mewujudkan konsep pertanggungjawaban manusia sebagai khalifah yang mentadbir dan mengurus alam ciptaan Allah SWT. Ketiga, memelihara keselamatan keturunan dan maruah diri sebagaimana yang dituntut ke atas manusia untuk memelihara kesempurnaan pembentukkan keturunan dan keluarga berpaksikan perundangan yang diturunkan oleh Allah SWT. Keempat, memelihara keselamatan harta selaras dengan fitrah semulajadi manusia yang suka mencari harta, maka Allah SWT menurunkan panduan pemilikan harta yang dibenarkan oleh Islam serta menuntut manusia mengikut lunas-lunas perundangan tersebut. Kelima, memelihara keselamatan agama dimana manusia dituntut supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk pengabdian diri selain Allah SWT. Justeru itu, dalam konteks pembinaan serta pembentukan masyarakat sejagat, seseorang insan perlulah mempelajari, memahami serta melaksanakan kesemua tanggungjawab yang telah digariskan oleh agama Islam selaku agama yang syumul.

Kegagalan dalam membentuk konsep pembangunan manusia yang holistik dan komprehensif mendatangkan pelbagai wabak dan permasalahan yang merencatkan kesejahteraan dan peradaban sesebuah negara. Revolusi permodenan Barat bukan sahaja menggoncang sistem ekonomi dan kewangan global, malah sistem politik, sistem sosial, sistem budaya dan sistem pendidikan yang telah mengenepikan panduan-panduan hidup beragama (Mohd Kamal Hassan, 2012). Keadaan ini membawa kepada gejala salah laku yang lebih teruk seperti skandal-skandal kewangan skala besar yang telah meruntuhkan syarikat-syarikat gergasi di Amerika Syarikat dan Eropah di samping penularan budaya korupsi yang meluas yang melibatkan golongan pemimpin, golongan atasan, pedagang dan para pegawai. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya sistem nilai, pandangan hidup dan etika pengurusan manusia moden dalam sistem-sistem konvensional yang berpegang kepada kepintaran akal bebas semata-mata.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, konsep pembangunan insan holistik dan komprehensif hanya dapat diwujudkan dengan tertegaknya nilai-nilai Islam yang bersifat mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. Skop pembangunan insan dalam Islam meliputi aspek jasmani dan rohani. Bagi memenuhi keperluan jasmani, manusia memerlukan pembangunan dari segi fizik yang dapat memenuhi keperluan manusia yang berbentuk material seperti makan, minum, tempat tinggal, pengangkutan dan kemudahan-kemudahan lain manakala untuk keperluan rohani manusia memerlukan pembangunan dari segi kejiwaan, mental dan akhlak. Integrasi antara kedua-dua komponen inilah yang akan berjaya membentuk pembangunan insan holistik iaitu bersifat seimbang, menyeluruh dan bersepadu.

Pembentukan sesebuah masyarakat akan menjadi kucar-kacir sekiranya hanya aspek material dan kebendaan yang dipentingkan. Hal ini kerana kekayaan sesebuah negara jika tidak disertai dengan ketinggian moral atau akhlak maka akan berlakulah pelbagai bentuk kezaliman, penindasan, dan penganiayaan yang akhirnya akan menggugat kesejahteraan dan keamanan masyarakat dan negara. Oleh itu pembangunan insan holistik sememangnya menjadi keperluan yang cukup penting dalam pembentukan masyarakat sejagat.  


RUJUKAN

Abdul Rahman Embong (2004). Memikir Semula Persoalan Pembangunan Manusia: Antara          Teori dengan Realiti. Jurnal Akademika 64 (Januari) 15-26

Ahmad Mohamad Said & Khalidah Salekan (2007). Pembangunan Insan: Aspirasi dan Realiti. Selangor: Kolej Dar al-Hikmah.

Al-Ghazali (1990). Bimbingan Mu’min. Singapura: Pustaka Nasional Pte.

Che Zarrina Sa’ari (2007), “Peranan Penyucian Jiwa (Tazkiyah al-Anfus) Terhadap            Pembangunan Insan Bertamadun,” dalam Prosiding Seminar Tasawur Negeri Sembilan 2007, Negeri Sembilan.

Mohd Kamal Hassan (2012), “Membangun Modal Insan Melayu dalam Sistem Pendidikan           Islam,” kertas kerja yang dibentangkan semasa Perbincangan Meja Bulat Mengarusperdanakan Sistem Pendidikan Islam di Malaysia anjuran Dewan Amal Islami (DAMAI) bertempat di Kuala Lumpur pada 5 Jun 2012.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

Nik Mustapha Nik Hassan (2003). “Pengurusan dari Perspektif Islam” kertas seminar yang dibentangkan dalam Muzakarah Pakar Piawaian Pengurusan Dari Perspektif Islam di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur pada 14-15 Januari.








Sunday 26 April 2015

PERKEMBANGAN BIDANG PENGURUSAN ISLAM

Perkembangan pemikiran dalam bidang pengurusan ini telahpun bermula apabila manusia cuba mengusahakan sesuatu pekerjaan secara beramai-ramai atau berkumpulan. Ianya bermula sejak zaman Nabi Adam a.s. lagi dan kemudiannya telah dipraktikkan oleh para nabi dan rasul sehingga kepada zaman pemerintahan Khulafa ar-Rasyiddin dan berterusan sehingga abad ke-21 kini. Konsep dan teori pengurusan juga dapat dilihat ketika zaman kegemilangan tamadun-tamandun besar seperti tamadun China, Rom, Parsi dan Mesir Tua. Usaha-usaha seperti pembinaan piramid oleh orang-orang Mesir misalnya, adalah antara sejarah awal bagaimana konsep pemgurusan mula dibicarakan. Sejarah pengurusan bermula seiring dengan perkembangan manusia daripada sebuah unit keluarga membentuk sebuah komuniti yang melibatkan pengurusan kawasan setempat dan akhirnya membentuk pengurusan sesebuah negara bangsa.

Konsep pengurusan Islam mula dikupas secara lebih terperinci sejak awal abad ke-7 lagi dengan kemunculan tokoh-tokoh yang mula membicarakan berkaitan isu pentadbiran negara berteraskan Islam. Kupasan-kupasan ini merangkumi bidang pemerintahan, kepimpinan, pembangunan ekonomi, pembangunan sosial, pembentukan negara Islam dan sebagainya. Antara tokoh sarjana Islam yang menyumbang ilmu serta kepakaran dalam bidang pengurusan termasuklah al-Mawardi, al-Ghazali, Fakhruddin al-Razi dan Ibn Taymiyyah. Bertitik tolak dari itu, prinsip-prinsip pengurusan berteraskan paradigma Islam mula diteliti dan diketengahkan sebagai suatu usaha untuk mencapai matlamat sebuah pentadbiran negara berteraskan Islam. Kesemua prinsip dan pendekatan yang digunapakai dalam bidang pengurusan berteraskan Islam tidak lain adalah bersumberkan rujukan paling utama dalam Islam iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Abad ke-12 memperlihatkan semakin banyak sumbangan dalam bidang pengurusan Islam oleh para sarjana dan cendekiawan Islam yang tidak putus-putus menjalankan pelbagai kajian, perbahasan dan pendedahan demi kemaslahatan masyarakat dan negara.

Namun begitu, pada awal abad ke-18, pemikiran konsep pengurusan telah terarah kepada teori-teori Barat yang semakin meluas. Para sarjana Barat mula membangunkan konsep pengurusan yang dihurai mengikut pemikiran dan kehendak yang diinginkan. Antara tokoh-tokoh tersebut termasuklah Henri Fayol, Frederick Taylor, Max Weber, dan Elton Mayor. Pelbagai bentuk kajian dan cadangan cuba diketengahkan oleh para sarjana Barat melalui asas falsafah, prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang dilihat jelas bertentangan dengan apa yang telah dibawa dalam teori pengurusan Islam sebelumnya. Kebanyakan teori tersebut memberi penekanan yang khusus kepada aspek fizikal dan bersifat material semata-mata. Pelbagai bentuk pemikiran dapat diteliti dalam kebanyakan teori pengurusan Barat oleh kerana cepatnya berlaku perubahan evolusi serta pendekatan yang berbeza-beza dalam setiap teori yang diketengahkan. Antaranya ialah kajian pengurusan saitifik, pengurusan birokrasi, perlakuan manusia dan kajian gerakan kontigensi. Konsep pengurusan Barat ini bagaimanapun telah berjaya menyebarkan pengaruh yang kuat sehingga menjadi rujukan dan panduan pelbagai lapisan masyarakat dan negara.   

Menyedari hakikat kelemahan dan kepincangan yang telah dibawa dalam teori pengurusan Barat, abad ke-19 telah membuka lembaran baru dalam dunia pengurusan. Kemunculan beberapa orang tokoh dalam bidang pengurusan Islam telah menjadi faktor kebangkitan semula teori pemikiran dan pendekatan keislaman untuk menolak dan mengikis pengaruh Barat yang mula sebati. Antara tokoh-tokoh yang telibat ialah Syed Othman al-Habshi, Ali Nadwi, S. Khuda Zaydan serta ramai lagi. Bertitik tolak dari itu, usaha-usaha untuk mengembalikan ilmu-ilmu pengurusan berteraskan Islam semakin giat dijalankan. Konsep pengurusan berteraskan Islam adalah suatu pendekatan yang mempunyai ikatan yang erat dengan falsafah kemasyarakatan. Ia mempunyai hubungan yang kuat dengan akhlak dan nilai-nilai masyarakat sosial. Pengurusan dalam Islam tidak memisahkan antara etika masyarakat dan nilai-nilai dalam mengurus dan mentadbir sesebuah organisasi. Pengurusan dalam Islam amat menitikberatkan aspek kemanusiaan melalui elemen kerohanian. Perspektif Islam meletakkan pengurusan sebagai satu cabang peraturan dan pematuhan yang lahir dari masyarakat Islam yang menghayati keperibadian dan nilai-nilai akhlak yang tinggi. Ia adalah suatu sistem yang menyeluruh dan bersifat universal.    

Berdasarkan huraian ringkas di atas, dapat disimpulkan bahawa masyarakat Barat secara kronologinya adalah lebih terkemudian membangun dalam aspek pengurusan dan pentadbiran dari umat Islam. Perkembangan dan kemajuan dalam bidang pengurusan Islam yang telah berlaku melalui dua fasa yang berbeza telah membawa pengaruh yang besar dan memberi banyak sumbangan dalam aspek pembinaan prinsip-prinsip pengurusan dan pentadbiran berbanding bidang pengurusan Barat yang lebih banyak mendatangkan permasalahan dan kepincangan dalam mengurus dan mentadbir sesebuah institusi kemasyarakatan dan negara.  

                           

Sunday 5 April 2015

CUKUPKAH MODAL INTELEK UNTUK PEMBANGUNAN MANUSIA?

Pembangunan manusia menurut perspektif Islam ialah bagaimana mengurus dan membangun segenap potensi yang dimiliki oleh manusia iaitu unsur akal, hati dan jasmani untuk dijadikan sumber kekuatan dalam mengurus diri, masyarakat serta alam sekitar. Segala keistimewaan anugerah Allah SWT kepada setiap makhluknya perlulah diurus dengan betul dan bijaksana. Keistimewaan ini termasuklah akal yang hanya dikurniakan kepada manusia dan tidak kepada makhluk lain seperti haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan. Akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia memiliki fungsi dan peranan yang cukup penting bagi menjadi penggerak kepada kedua-dua unsur baik rohani mahupun jasmani. Dengan akal yang dimiliki manusia mampu untuk memperolehi pengetahuan, berupaya untuk mereka cipta sesuatu, berupaya untuk membezakan antara yang baik dan yang buruk, serta mampu membawa insan kepada zat keinsanannya.

Namun begitu, cukupkah pembangunan manusia yang bersifat menyeluruh seandaiannya tumpuan dan penekanan hanya diberikan kepada aspek intelektual semata-mata? Akan lahirkah suatu pembangunan yang sempurna sekiranya komponen yang dibangunkan hanyalah akal manusia yang kadang kala boleh bertindak waras dan kadang kala sebaliknya?

Tidak dapat dinafikan bahawa taraf pendidikan yang tinggi dan ilmu pengetahuan yang luas mampu menjadikan manusia berkuasa, dihormati, dan disanjung tinggi. Hal ini boleh dilihat dengan mengambil contoh negara Barat yang bersifat ‘intelligence’ dan amat mementingkan unsur IQ berbanding unsur EQ mahupun SQ. Dunia juga seperti sudah menerima kenyataan bahawa negara yang maju dan membangun dengan pesat adalah negara yang memiliki rakyat  berpendidikan tinggi dan modal intelek yang luas. Modal insan dari perspektif modal intelek ialah ilmu pengetahuan yang terdapat pada manusia (implisit dan eksplisit). Pembangunan modal insan menurut paradigma Barat amat menekankan ilmu pengetahuan serta taraf pendidikan sebagai alat mengukur tahap kemajuan sesebuah negara. Oleh kerana itu, tidak hairanlah mengapa masyarakat di Barat dianggap maju dan menjadi ikutan negara-negara membangun yang lain.

Persoalannya, adakah dengan terbangunnya modal intelek yang dimiliki oleh manusia maka akan terbangunlah diri manusia itu secara keseluruhannya. Jawapannya ialah tidak. Hal ini kerana modal intelek yang berasal dari akal hanyalah sebahagian daripada unsur kejadian manusia. Unsur terpenting yang menggerakkan seluruh jasad manusia iaitu hati masih tidak dapat dibangunkan seiring dengan modal intelek tersebut. Keadaan ini dapat digambarkan dengan mengambil contoh sebuah negara maju iaitu San Fransisco yang terletak di Amerika Syarikat. Rakyatnya sangat mementingkan taraf hidup, pendidikan dan hubungan sosial dalam masyarakat. Terdapat sebuah jambatan yang menjadi lambang kemegahan dan kemahsyuran negara tersebut yang diberi nama ‘Golden Gate’. Jambatan ini sangat terkenal bukan hanya kerana daya tarikan dan kehebatan yang dimiliki namun kerana lokasinya yang menjadi pilihan manusia yang berfikiran tidak rasional untuk menamatkan kehidupan mereka dengan cara terjun dari jambatan tersebut. Hal ini tidak dapat dinafikan kerana sejak jambatan ini dibina, lebih dari 1500 kes bunuh diri telah dicatatkan. Pelbagai langkah keselamatan  terpaksa diambil oleh pihak yang bertanggungjawab bagi menangani masalah bunuh diri ini antaranya dengan meletakkan beberapa telefon awam bersama talian hotline 24 jam yang berfungsi untuk memberi nasihat dan kaunseling kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya. Alternatif ini adalah usaha untuk merawat hati dan rohani manusia agar kembali berfikiran waras dan tidak mengambil jalan singkat dengan membunuh diri.

Secara kesimpulannya, apa yang ingin disampaikan adalah pembangunan manusia tidak akan sempurna sekiranya hanya modal intelektual yang dititikberatkan. Aspek rohani dan spiritual tidak seharusnya diabaikan kerana ia merupakan unsur utama yang mengawal segenap tingkahlaku manusia. Acuan pembangunan Barat telah menunjukkan bahawa unsur IQ perlu dibangunkan selari dengan unsur EQ dan SQ agar pembangunan manusia yang lahir bersifat sempurna dan menyeluruh. Jika sebaliknya, maka akan terjadilah kepincangan dalam masyarakat serta masalah sosial yang semakin serius sehingga tidak lagi mampu diurus dengan baik.   

Sunday 15 March 2015

MODAL INSAN SEBUAH REVOLUSI

Pada entri sebelum ini, penulis telah menyatakan beberapa takrifan istilah modal insan bagi memberi
sedikit gambaran berkaitan tajuk tersebut. Entri pada kali ini masih lagi berkaitan dengan tajuk modal insan. Daripada beberapa pandangan, dapat dirumuskan bahawa konsep modal insan berkait rapat dengan pendidikan dan kemahiran kerana ia diyakini mampu memupuk perkembangan terbaik dalam bidang sumber manusia.

Berbanding dengan modal-modal lain, modal manusia menjadi semakin penting dalam menjana dan menggerak pembangunan ekonomi sesebuah negara. Justeru itu, kebanyakan negara-negara maju dan membangun telah melaburkan wang yang bukan sedikit dalam bidang pendidikan bagi memastikan negara dapat menghasilkan stok atau himpunan modal insan yang diperlukan. Malaysia juga tidak terkecuali dalam melaksanakan langkah-langkah proaktif bagi membina modal insan berkualiti dan berdaya saing.

Namun begitu, secara hakikatnya konsep modal insan adalah sebuah revolusi yang terhasil daripada pemikiran pelopor-pelopor Barat dari pelbagai bidang terutamanya dalam bidang ekonomi dan pengurusan manusia antaranya Adam Smith, Arthur C. Pigou dan Gary Becker. Para pelopor Barat berpendapat bahawa pelaburan ke atas manusia lebih mendatangkan keuntungan jangka panjang dalam pembangunan ekonomi dan negara. Paul Romer, seorang profesor dan tokoh ekonomi terkenal di Universiti Stanford menyatakan bahawa stok atau himpunan ilmu pengetahuan dan kemahiran individu akan menghasilkan pengeluaran yang produktif.

Di Britain, seorang ahli ekonomi E.F.Schumarker, mengutarakan anjakan paradigma dalam pembangunan ekonomi dengan menyatakan bahawa suatu sistem pemikiran yang baharu dan diperlukan adalah sistem pemikiran yang memberikan perhatian kepada manusia dan bukan lagi memberi perhatian utama kepada barangan atau benda. Justeru itu, beliau mencadangkan supaya ekonomi dan teknologi dimanusiakan.

Selain pandangan Dunia Barat, para tokoh Islam juga mempunyai pandangan mereka yang tersendiri. Khurshid Ahmad, seorang tokoh ekonomi dari Pakistan menegaskan bahawa Islam sangat prihatin terhadap masalah-masalah pembangunan ekonomi tetapi melihatnya sebagai suatu bahagian penting daripada masalah yang lebih luas iaitu pembangunan manusia yang menyeluruh.

Di Malaysia pula, istilah modal insan pertama kali dipopularkan oleh YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi semenjak beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia. Pemilihan perkataan modal insan dan bukan modal manusia membawa satu paradigma baharu bukan sahaja dalam pembangunan ekonomi semata-mata bahkan yang lebih utama iaitu pembangunan negara. Sesetengah pendapat terutamanya dari Barat menghujahkan bahawa modal manusia dan modal insan membawa maksud yang sama iaitu terjemahan kepada human capital. Namun begitu, pandangan dari tokoh-tokoh Islam menyatakan bahawa modal manusia dan modal insan adalah berbeza sama sekali. 

Bagi mantan perdana menteri ini, beliau menghujahkan bahawa dalam konteks penjanaan dan pembangunan modal insan, ilmu dan kemahiran adalah mustahak, namun yang lebih dipentingkan ialah nilai-nilai akhlak dan keinsanan seperti amanah, jujur, bertanggungjawab dan berintegriti. Hal ini menjadi cabaran terbesar dalam memastikan modal insan yang dihasilkan memiliki kekuatan rohani, berakhlak mulia dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang luhur. Usaha-usaha penerapan nilai-nilai murni dan memupuk akhlak yang mulia menghadapi pebagai halangan dan kekangan antaranya persekitaran yang tidak kondusif, pengaruh globalisasi yang negatif dan amalan-amalan hidup yang tidak sihat.

Secara kesimpulannya, anjakan paradigma yang berlaku dalam konsep modal manusia (menurut perspektif Barat) kepada modal insan (menurut perspektif Islam) itu sendiri adalah merupakan sebuah revolusi dalam cabang pembangunan manusia. Namun begitu, anjakan baharu yang telah dibawa ini belum dapat menentukan kejayaan dan keberhasilan pembangunan manusia secara holistik dan komprehensif kerana ianya memerlukan kepada pembinaan sebuah konsep yang lebih menyeluruh. Asas-asas pembinaan konsep itu juga perlu meletakkan kepentingan manusia sebagai matlamat dan tujuan utama pembangunan dan bukannya ekonomi.