Monday 16 November 2015

PEMBANGUNAN INSAN HOLISTIK: SATU KEPERLUAN MASYARAKAT SEJAGAT

Oleh: Norhafizah Abdul Halim

PENDAHULUAN

Persoalan pembangunan merupakan suatu persoalan penting dalam kehidupan manusia sejagat kerana ia membawa kesan langsung ke atas setiap aspek kehidupan. Setiap masyarakat dunia tidak kira sama ada dalam kelompok negara maju, membangun mahupun mundur berhak untuk berada dalam proses pembangunan yang sepatutnya. Dalam aspek pembangunan manusia, pelbagai pandangan lahir daripada pemikiran yang beza telah mencetuskan konsep, teori dan pendekatan pembangunan manusia yang turut berbeza (Abdul Rahman Embong, 2004). Namun begitu, sejak dahulu lagi pandangan Barat menjadi paling dominan dalam konsep pembangunan manusia. Hal ini dapat dilihat melalui konsep dan teori pembangunan manusia yang diasaskan oleh golongan sarjana Barat dan digunapakai secara meluas dalam kebanyakan negara-negara Dunia Kedua.

Pembangunan manusia menurut perspektif lazim jelas berbeza daripada apa yang dibawa oleh perspektif Islam. Antara perbezaan yang dapat dikenalpasti ialah perspektif lazim meletakkan penekanan menyeluruh ke atas unsur fizikal dan material semata-mata seperti meningkatkan ekonomi dan pendapatan negara, penciptaan sains dan teknologi serta mendapat . Ini membawa kepada matlamat pembangunan yang bersifat tidak seimbang, lemah dan tidak menyeluruh. Berbeza dengan teori pembangunan manusia daripada perspektif Islam yang mementingkan keseimbangan antara aspek fizikal dan spiritual, meningkatkan pembangunan peribadi dan keupayaan manusia dan bermatlamatkan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat.  





KONSEP PEMBANGUNAN INSAN MENURUT ISLAM


Pembangunan manusia menurut perspektif Islam ialah bagaimana mengurus dan membangun segenap potensi yang dimiliki oleh manusia iaitu unsur akal, hati dan jasmani untuk dijadikan sumber kekuatan dalam mengurus diri, masyarakat serta alam sekitar. Segala keistimewaan anugerah Allah SWT kepada setiap makhluknya perlulah diurus dengan betul dan bijaksana. Keistimewaan ini termasuklah akal yang hanya dikurniakan kepada manusia dan tidak kepada makhluk lain seperti haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan.

Akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia memiliki fungsi dan peranan yang cukup penting bagi menjadi penggerak kepada kedua-dua unsur baik rohani mahupun jasmani. Dengan akal yang dimiliki manusia mampu untuk memperolehi pengetahuan, berupaya untuk mereka cipta sesuatu, berupaya untuk membezakan antara yang baik dan yang buruk, serta mampu membawa insan kepada zat keinsanannya.

ELEMEN KEINSANAN DALAM PEMBANGUNAN INSAN HOLISTIK MENURUT ISLAM

Menurut Al-Ghazali (1990) perbincangan mengenai pembangunan insan yang holistik dan komprehensif memperlihatkan dua aspek penting dalam kehidupan manusia iaitu pembangunan spiritual dan pembangunan jasmani secara bersepadu (Al-Ghazali, 1990). Kedua-duanya merupakan komponen yang amat penting dan tidak boleh terpisah kerana ia dalam aspek pembangunan insan kerana ia saling berinteraksi dan melengkapi antara satu sama lain bagi melahirkan sebuah pembangunan yang bersifat sempurna. Namun begitu, pembangunan spiritual adalah lebih dominan dan membentuk hakikat keinsanan yang hakiki.

Dalam membentuk pembangunan insan holistik yang mengambil kira kedua-dua aspek spiritual dan jasmani, perkara utama yang harus difahami ialah hakikat keinsanan yang merupakan elemen-elemen pembentukan insan yang hakiki. Perkara asas ini amat penting untuk difahami agar penekanan dan penumpuan yang ingin diberikan dalam sesebuah konsep pembangunan insan berjaya meliputi segenap aspek elemen pembentukan insan.

Hakikat insan menurut Islam terdiri daripada dua unsur iaitu rohani dan jasmani yang mana kedua-duanya merupakan satu kesatuan. Antara kedua-dua unsur ini, unsur yang mutlak, tetap dan hakiki ialah unsur rohani. Manakala unsur jasmani pula merupakan unsur yang bergantung kepada unsur rohani, bersifat nisbi dan merupakan manifestasi kebenaran hakiki. Selain daripada al-hayah atau nyawa yang menghidupkan diri insan, unsur rohani dapat dibahagikan kepada tiga komponen penting iaitu kalbu, akal dan nafsu. Kalbu berada pada kedudukan separa kesedaran atau melepasi kesedaran diri manusia. Ia merupakan pusat dalam diri dan berperanan sebagai pemandu dan pengendali. Oleh itu, apabila ia berfungsi dengan baik, maka kehidupan insan menjadi baik dan hidup sealiran dengan fitrah semulajadi insan yang diciptakan oleh Allah SWT. Namun begitu, sekiranya komponen ini tidak berfungsi dengan baik maka akan terjadilah yang sebaliknya. Sebagaimana yang telah disebutkan dalam sebuah hadis riwayat Bukhari dari Nu'man ibn Bashir iaitu:

            "Sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila ia baik maka             akan baiklah seluruh tubuh namun jika ia rosak maka akan rosaklah seluruh tubuh. Ingatlah bahawa ia adalah kalbu". 

Unsur kedua bagi komponen rohani yang ada dalam diri setiap insan adalah akal. Akal disebut dalam al-Quran sebagai al-‘aql yang membawa maksud menahan. Orang yang berakal pula disebut sebagai al-aqil. Dari segi bahasa (etimologi), akal bermakna menahan, ikatan, melarang, dan mencegah. Justeru itu, orang yang berakal adalah yang mampu menahan dan mengikat hawa nafsunya daripada membawa diri kepada sesuatu perbuatan. Apabila seseorang manusia dapat mengawal hawa nafsunya maka akal rasionalnya akan muncul bagi memainkan peranan dalam mendidik jiwa. Akal berfungsi menyampaikan ilmu pengetahuan kepada hati yang boleh mempengaruhi agar mendekatkannya kepada Allah SWT. Dari segi kedudukan, akal berada di tahap kesedaran diri manusia.

Akal yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia memiliki fungsi dan peranan yang cukup penting bagi menjadi penggerak kepada kedua-dua unsur baik rohani mahupun jasmani. Dengan akal yang dimiliki manusia mampu untuk memperolehi pengetahuan, berupaya untuk mereka cipta sesuatu, berupaya untuk membezakan antara yang baik dan yang buruk, serta mampu membawa insan kepada zat keinsanannya. Imam Al-Ghazali menegaskan bahawa sememangnya berkebolehan untuk mencapai taraf malaikat dengan suluhan ilmu dan juga boleh jatuh tersungkur lebih rendah dari taraf haiwan jika terpengaruh dengan kemewahan dan kenikmatan dunia.

Manusia mampu memperolehi ilmu pengetahuan melalui daya fikir, pemahaman, hafalan, imaginasi, penemuan, pengucapan, argumentatif dan sebagainya. Oleh kerana pelbagai keupayaan tersebut, fungsi akal juga disebut sebagai fitrah insan iaitu sifat semulajadi yang diciptakan oleh Allah SWT kepada setiap manusia. 

Unsur ketiga pula ialah nafsu atau disebut juga sebagai syahwat. Syahwat mempunyai dua fungsi utama iaitu al-ghadab dan al-shahwah. Al-ghadab ialah potensi untuk menghindari diri daripada segala perbuatan yang berbahaya dan disebut juga sebagai pertahanan atau pembelaan. Al-shahwah pula ialah potensi untuk memiliki segala sesuatu yang disebut juga sebagai keinginan atau hawa nafsu.

Prinsip syahwat merupakan fitrah haiwaniyah kerana ia bersamaan dengan prinsip kerja haiwan seperti makan, tidur, dan seks. Matlamat utama unsur syahwat adalah untuk memuaskan keperluan fisiologi. Jika dikawal dengan baik, nafsu atau keinginan syahwat dapat memberikan beberapa manfaat kepada manusia. Namun begitu nafsu mampu mendesak manusia bagi memenuhi keinginannya secara bebas. Apabila manusia terlalu mengikut kehendak nafsu sehingga tidak dapat mengawalnya, ini bermakna manusia tersebut mengikut kehendak dan fitrah haiwaniyah. Al-Ghazali menyatakan bahawa syahwat perut dan syahwat jantina merupakan dua jenis syahwat yang paling banyak meruntuhkan akhlak manusia. Justeru itu, kedudukan manusia yang mengikut nafsu semata-mata disamakan dengan haiwan.


KEPERLUAN PEMBANGUNAN INSAN HOLISTIK DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT SEJAGAT

Perkaitan antara elemen keinsanan dalam membentuk pembangunan insan holistik begitu signifikan terutamanya terhadap matlamat pembangunan yang perlu dicapai oleh setiap insan bagi tujuan merealisasikan diri manusia sebagai seorang insan sempurna sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Kesemua matlamat ini dapat dicapai melalui tiga asas utama iaitu hubungan manusia dengan Allah SWT selaku pencipta (habl min Allah) yang merupakan cara bagaimana seseorang insan dapat mengenal Allah SWT yang dimanifestasikan melalui enam prinsip Rukun Iman dan bagaimana cara seseorang insan berhubung denganNya yang dimanifestasikan melalui lima prinsip Rukun Islam. Asas kedua pula ialah hubungan manusia dengan manusia (habl min al-nas) dimana setiap insan diwajibkan mematuhi segala perintah Allah SWT serta meningggalkan segala laranganNya ketika berhubungan sesama insan. Asas ketiga ialah hubungan manusia dengan alam dimana Allah SWT telah pun memberikan garis panduan untuk manusia berinteraksi dengan alam sekitar (Muhammad Syukri Salleh, 2003).

Pembangunan insan dalam konteks membentuk masyarakat bertamadun dapat difahami sebagai suatu usaha yang berterusan sepanjang hayat dalam memupuk dan mengembangkan potensi-potensi yang ada dalam diri manusia agar menjadi subur dan kental rasa keimanannya terhadap rukun Iman serta berupaya untuk menggesa dan menyumbang ke arah kebaikan dan kesejahteraan hidup diri sendiri, orang lain dan alam keseluruhannya (Che Zarrina Sa’ari, 2007). Keadaan ini bertepatan sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam. Pembangunan insan menurut Islam haruslah bergerak seiringan dengan pembangunan masyarakat serta menjaga kemaslahatan seluruh umat manusia. Rasulullah SAW haruslah dijadikan contoh dan ikutan bagi melahirkan satu bentuk pembangunan insan yang sempurna dan menyeluruh. Dalam perspektif bersepadu, pembangunan insan holistik merupakan keperluan yang sangat mustahak dalam membentuk masyarakat kini. Ini kerana, pembangunan insan yang ditonjolkan oleh Islam adalah berlandaskan orientasi nilai dengan perhatian untuk meningkatkan kebajikan umat Islam dari semua aspek moral, kebendaan, dan kerohanian untuk mencapai kesejahteraan dan kedamaian hidup di dunia dan di akhirat.

Bagi melahirkan konsep pembangunan insan holistik, setiap insan perlulah berpegang kepada lima perkara dasar yang harus dipelihara demi menjaga kesejahteraan masyarakat keseluruhannya.. Syariat Islam telah menjelaskan lima dasar (maqasid al-syariah) bagi memelihara kemaslahatan hidup seseorang insan yang seterusnya membawa kepada pembentukkan sebuah masyarakat. Lima dasar tersebut ialah pertama, memelihara keselamatan nyawa setiap individu bagi mewujudkan perpaduan, kesatuan dan kerjasama antara satu sama lain dengan kelangsungan hidup umat manusia. Kedua, memelihara keselamatan akal fikiran yang dianugerahkan oleh Allah SWT hanya kepada makhluk bergelar manusia sehingga mewujudkan konsep pertanggungjawaban manusia sebagai khalifah yang mentadbir dan mengurus alam ciptaan Allah SWT. Ketiga, memelihara keselamatan keturunan dan maruah diri sebagaimana yang dituntut ke atas manusia untuk memelihara kesempurnaan pembentukkan keturunan dan keluarga berpaksikan perundangan yang diturunkan oleh Allah SWT. Keempat, memelihara keselamatan harta selaras dengan fitrah semulajadi manusia yang suka mencari harta, maka Allah SWT menurunkan panduan pemilikan harta yang dibenarkan oleh Islam serta menuntut manusia mengikut lunas-lunas perundangan tersebut. Kelima, memelihara keselamatan agama dimana manusia dituntut supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk pengabdian diri selain Allah SWT. Justeru itu, dalam konteks pembinaan serta pembentukan masyarakat sejagat, seseorang insan perlulah mempelajari, memahami serta melaksanakan kesemua tanggungjawab yang telah digariskan oleh agama Islam selaku agama yang syumul.

Kegagalan dalam membentuk konsep pembangunan manusia yang holistik dan komprehensif mendatangkan pelbagai wabak dan permasalahan yang merencatkan kesejahteraan dan peradaban sesebuah negara. Revolusi permodenan Barat bukan sahaja menggoncang sistem ekonomi dan kewangan global, malah sistem politik, sistem sosial, sistem budaya dan sistem pendidikan yang telah mengenepikan panduan-panduan hidup beragama (Mohd Kamal Hassan, 2012). Keadaan ini membawa kepada gejala salah laku yang lebih teruk seperti skandal-skandal kewangan skala besar yang telah meruntuhkan syarikat-syarikat gergasi di Amerika Syarikat dan Eropah di samping penularan budaya korupsi yang meluas yang melibatkan golongan pemimpin, golongan atasan, pedagang dan para pegawai. Hal ini menunjukkan betapa lemahnya sistem nilai, pandangan hidup dan etika pengurusan manusia moden dalam sistem-sistem konvensional yang berpegang kepada kepintaran akal bebas semata-mata.

KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, konsep pembangunan insan holistik dan komprehensif hanya dapat diwujudkan dengan tertegaknya nilai-nilai Islam yang bersifat mementingkan kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya. Skop pembangunan insan dalam Islam meliputi aspek jasmani dan rohani. Bagi memenuhi keperluan jasmani, manusia memerlukan pembangunan dari segi fizik yang dapat memenuhi keperluan manusia yang berbentuk material seperti makan, minum, tempat tinggal, pengangkutan dan kemudahan-kemudahan lain manakala untuk keperluan rohani manusia memerlukan pembangunan dari segi kejiwaan, mental dan akhlak. Integrasi antara kedua-dua komponen inilah yang akan berjaya membentuk pembangunan insan holistik iaitu bersifat seimbang, menyeluruh dan bersepadu.

Pembentukan sesebuah masyarakat akan menjadi kucar-kacir sekiranya hanya aspek material dan kebendaan yang dipentingkan. Hal ini kerana kekayaan sesebuah negara jika tidak disertai dengan ketinggian moral atau akhlak maka akan berlakulah pelbagai bentuk kezaliman, penindasan, dan penganiayaan yang akhirnya akan menggugat kesejahteraan dan keamanan masyarakat dan negara. Oleh itu pembangunan insan holistik sememangnya menjadi keperluan yang cukup penting dalam pembentukan masyarakat sejagat.  


RUJUKAN

Abdul Rahman Embong (2004). Memikir Semula Persoalan Pembangunan Manusia: Antara          Teori dengan Realiti. Jurnal Akademika 64 (Januari) 15-26

Ahmad Mohamad Said & Khalidah Salekan (2007). Pembangunan Insan: Aspirasi dan Realiti. Selangor: Kolej Dar al-Hikmah.

Al-Ghazali (1990). Bimbingan Mu’min. Singapura: Pustaka Nasional Pte.

Che Zarrina Sa’ari (2007), “Peranan Penyucian Jiwa (Tazkiyah al-Anfus) Terhadap            Pembangunan Insan Bertamadun,” dalam Prosiding Seminar Tasawur Negeri Sembilan 2007, Negeri Sembilan.

Mohd Kamal Hassan (2012), “Membangun Modal Insan Melayu dalam Sistem Pendidikan           Islam,” kertas kerja yang dibentangkan semasa Perbincangan Meja Bulat Mengarusperdanakan Sistem Pendidikan Islam di Malaysia anjuran Dewan Amal Islami (DAMAI) bertempat di Kuala Lumpur pada 5 Jun 2012.

Muhammad Syukri Salleh (2003). 7 Prinsip Pembangunan Berteraskan Islam. Kuala Lumpur: Zebra Editions Sdn. Bhd.

Nik Mustapha Nik Hassan (2003). “Pengurusan dari Perspektif Islam” kertas seminar yang dibentangkan dalam Muzakarah Pakar Piawaian Pengurusan Dari Perspektif Islam di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Kuala Lumpur pada 14-15 Januari.